Dialisis (AV) Fistula Rosak - Bagaimana Interventional Radiology (IR) Boleh Bantu

Arteriovenous (AV) fistula merupakan salah satu cara untuk pesakit buah pinggang kronik menjalani dialisis, atau biasa disebut sebagai cuci buah pinggang. Antara masalah yang sering dihadapi oleh pesakit yang mempunyai AV fistula ialah apabila salur darah ini sempit atau tersumbat oleh darah beku, menyebabkan darah tidak boleh mengalir dan dialisis tidak dapat dilakukan. 

 Pakar radiologi intervensi (IR) boleh mencuba untuk mengembalikan aliran darah dalam fistula tanpa pembedahan. Antara cara yang biasa digunakan ialah 'fistuloplasty' iaitu dengan memasukkan 'belon' khas untuk membuka salur darah yang sempit. Darah beku yang menyumbat salur darah pula boleh disedut menggunakan alat khas.

Salur darah fistula yang tersumbat
Proses memecahkan darah beku ("thrombectomy) menggunakan alat "Cleaner"

Salur darah yang sempit dibuka menggunakan 'belon'



Darah mula mengalir melalui salur darah yang asalnya sempit dan tersumbat. Ada sedikit lagi baki darah beku namun kita harap akan hilang dengan senaman dan ubat pencair darah

Perbandingan sebelum dan selepas prosedur.





Suka entri ini? Kliklah mana-mana butang di bawah untuk kongsi dengan rakan yang lain pula.heh!

Penempelan Uri Tidak Normal - Bagaimana Interventional Radiology (IR) Boleh Bantu

Umum tahu bahawa semasa proses penumbuhbesaran dalam kandungan, bayi mendapat zat daripada uri. Uri yang normal akan menempel pada dinding rahim yang menebal ketika mengandung. Terdapat keadaan di mana uri ni menempel secara tidak normal iaitu terlalu dalam. Dalam istilah perubatan, keadaan ini dipanggil 'Morbidly Adherent Placenta' atau 'Placenta Accreta Spectum (PAS)'. 

Bergantung pada tahap keterukan, di bawah payung penyakit ini terdapat placenta accreta, increta atau percreta. Placenta percreta merupakan keadaan yang paling teruk, iaitu apabila uri menempel sehingga ke lapisan otot dan kadang-kala sehingga melebihi dinding rahim. Keadaan ini akan menyebabkan pelbagai komplikasi, terutamanya pendarahan yang tidak terkawal semasa proses kelahiran, sehingga boleh menyebabkan kematian.
Penempelan uri yang tidak normal (gambar dari National Accreta Foundation).
Bidang radiologi intervensi (interventional radiologi, IR) dapat membantu mengurangkan kehilangan darah ini dengan melakukan prosedur yang dipanggil 'Bilateral Internal Iliac Artery Balloon Occlusion'. 

Pembuluh darah ke rahim dikenal pasti dan diukur untuk menentukan saiz belon yang sesuai
Prosedur ini dilakukan sebelum pembedahan kelahiran bayi (lower segment Caesarean section, LSCS). Pakar IR akan memasukkan belon ke dalam pembuluh darah rahim melalui hirisan kecil di kedua-dua belah paha. Setelah bayi dilahirkan, belon ini akan dikembangkan untuk menghentikan sementara aliran darah ke uri dan rahim. Setelah uri dikeluarkan dan pembedahan selesai, belon ini akan dikeluarkan dan darah akan akan mengalir seperti biasa. 

Walaupun ada dapatan kajian yang pelbagai mengenai keberkesanannya, prosedur ini masih diamalkan kerana tekniknya yang mudah dan boleh dikatakan selamat. 

Belon di dalam kedua-dua pembuluh darah rahim diuji sebelum pesakit dihantar ke dewan bedah untuk pembedahan.


Rujukan: 
1. da Cunha Castro, EC, Popek, E. Abnormalities of placenta implantation. APMIS 2018; 126: 613– 620 
2. Liang D, Zhao H, Liu D, Lin Y. Internal iliac artery balloon occlusion in the management of placenta accreta: A systematic review and meta-analysis. European Journal of Radiology. 2021 Jun 1;139:109711. 
3. Nankali, A., Salari, N., Kazeminia, M., Mohammadi, M., Rasoulinya, S. and Hosseinian-Far, M., 2021. The effect prophylactic internal iliac artery balloon occlusion in patients with placenta previa or placental accreta spectrum: a systematic review and meta‐analysis. Reproductive Biology and Endocrinology, 19(1), pp.1-16. 

*Penulis merupakan seorang pakar radiologi dan pensyarah perubatan di Hospital Universiti Sains Malaysia.

Suka entri ini? Kliklah mana-mana butang di bawah untuk kongsi dengan rakan yang lain pula.heh!