Showing posts with label Umar Denjeros. Show all posts
Showing posts with label Umar Denjeros. Show all posts

Udin Kapten - Bab Baru


"Weng...weng..weng.."

Lalat itu masih berterbangan meskipun sedikit pening terkena libasan tangan kiri Udin.

Udin membetulkan duduknya di kerusi yang berkeriuk itu. Diperhatinya sekeliling. Di kanannya Aidi, yang masih enak berdengkur. Sesekali Aidi seperti mengomel sendiri. Bermimpi indah barangkali.

Di belakangnya, sayup-sayup mata memandang seorang wanita, berskirt paras lutut menolak troli. Di kiri, sehasta sedikit darinya Jali, yang khusyuk membelek-belek majalah yang menayangkan tempat-tempat menarik dan barang beraneka rakam dengan harga yang kurang masuk akal.

Di depan Jali seorang makcik pertengahan umur berambut ungu bergincu merah, tebal. Umar memerhati gelagatnya yang bersembang dengan suara kuat laksana dunia itu dia yang punya dengan lelaki muda berkot disebelahnya. Anaknya, atau lelaki simpanannya, barangkali.

"Fish or bacon?"

Umar tersentak. Tidak disedari wanita dalam 30-an itu sudah ditepinya, bersama troli yang muat-muat sahaja di laluan itu.

"Fish or bacon?!", si wanita sedikit meninggikan suara.

"Err..fish!", kata Udin seraya menyucuk-nyucuk bahu Aidi di sebelah. "Makan dowh".

"Drinks?", tanya si wanita lagi sambing menghulurkan sekeping tray berisi roti kosong berlapiskan ikan separa masak dan sehiris lemon. Ada juga semangkuk salat dan sudu dan garfu dan tisu. Semuanya bersalut plastik lembut lutsinar.

"Coke please", pinta Udin bersahaja. Masa itu kempen boikot Coca Cola masih belum sampai.

Udin melihat makanan yang terhidang. Kemudian melihat sekeliling lagi. Kemudian mengelamun.

"Weng..weng..weng"
"Plop"
"Uhuk, uhuk"

Lalat yang berlegar-legar tadi sudah masuk ke mulut makcik berambut ungu bergincu merah tebal itu, barangkali.


Umar Denjeros - Episod : Londeh

Malam semakin tua. Umar menyelinap di celah-celah pokok kenanga, di tepi dataran. Perlahan-lahan dia mencuri udara, menenangkan dadanya yang berombak dan nafas yang semput. Bau kenanga menusuk hidung, mengingatkannya kepada green lady dan kereta api tengah malam. Mereka kata tahun ni 'tahun melawat'.

Umar cuba buang perasaan tidak sedap. Hantu tidak boleh buat apa-apa. Lainlah manusia. Baru dua malam lepas Jali menjadi mangsa. Kain pelikatnya dilondeh. Jali yang masih mamai terkial-kial, cuba menutup dengan selimut. Badannya yang kedengkik layu dek penangan bantal-bantal kekabu.

Umar tahu, sebab dialah yang paling galak malam itu. Malam ini gilirannya pula. Umar tidak akan menyerah dengan begitu mudah. Agi idup agi ngelaban!

Suara riuh-rendah yang semakin dekat memaksa Umar keluar. Perlahan-lahan dia menapak, merentasi malam yang hanya menampakkan mata dan giginya, menuju ke dewan makan. Tiba-tiba terdengar jeritan, suara yang amat dia kenal.

"Tu dia Umaq. Ligan, ligan! Kita taboh ramai-ramai, kita londeh seluaq dia.", diselangi dengan gelak ketawa ha ha ha beramai-beramai.

Umar pecut sekuat hati, langsung tidak menoleh.

Umar Denjeros - Episod : Ketam

"Channel 1, Channel 1, Orthodox, Orthodox!"

Umar berlari, sepantas yang boleh. Datang seorang dari arah bertentangan, juga berlari. Laju, selaju Umar barangkali. Umar mengacah, melakukan dummies, dan lepas. Seorang lagi datang dengan muka ganas dibuat-buat, bertempik, cuba menggerunkan Umar. Sekali lagi Umar mengacah, melakukan sidesteps, seraya menyempurnakan hantaran.

"Jangan ketam, jangan ketam, sampai hujung!"

Prriiitttttttt.....!!

"Cantik, bak aku convert"

Pada minit-minit akhir separuh masa kedua Cougars berjaya mendahului Cobras dengan mata 7 berbalas 5. Umar tersenyum, puas...

Umar Denjeros - Episod : Rumput

"Atas rumput ada tumit. Tumit cantik tak pernah lihat. Tumit atas rumput. Rumput yang hijau. Cey barang baik... Cey barang baik... Rumput yang hijau"

"Atas tumit ada betis. Betis cantik tak pernah lihat. Betis atas tumit, tumit atas rumput. Rumput yang hijau. Cey barang baik... Cey barang baik... Rumput yang hijau"

Uwekk.. Umar muntah. Keluar lendir kuning hijau. Likat, ada sisa mi yang tak sempat cerna. Mi goreng tengah hari tadi, barangkali.

"Kamon, kamon.. Tinggal 10 je lagi!"

"Atas betis ada lutut. Lutut cantik tak pernah lihat. Lutut atas betis, betis atas tumit, tumit ada rumput... Rumput yang hijau."