Aku pasti ramai antara kita yang pernah, atau teringin untuk pergi ke St. Petersburg, Russia atau dulunya dikenali sebagai Leningrad. Pergilah, sementara masih di Russia ini, kerana setelah beredar dari negara ini, hampir pasti kalian tidak akan, taknak, atau susah nak datang lagi.
Aku pernah pergi, tahun lepas, setahun selepas aku bergelar suami orang,heh! Memang aku akui ia sebuah bandar yang cantik. Menikmati 'White night' sambil bersiar di pesisir Neva, berpiknik di taman-taman yang hijau, atau melawat pinggiran bandar - Peterhoff, Pushkina dll.
Namun, aku melihat kecantikan sesuatu tempat dengan keindahan budi dan pekerti penghuninya. St. Petersburg masih lagi Russia, walaupun budaya dan cara penduduknya mungkin sedikit lebih baik dari bahagian Russia yg lain. Tempat tarikan pelancongnya masih mengamalkan double standard. Caj dan layanan berlainan diberikan untuk pelancong asing.
Alang-alang ke St. Petersburg, aku cadangkan kalian teruskan semalaman perjalanan ke Helsinki, Finland. Ambil saja bas atau van mini di Moskovky Vokzal. Ketika itu tambangnya sekitar 800 ruble. Kita, pemegang pasport Malaysia memang
tiada masalah untuk ke sana. Mungkin sedikit penat ketika di sempadan, tetapi berbaloi.
Bandar Helsinki yang damai diserikan dengan pekerti indah penduduknya. Peramah, berhemah, suka membantu, lebih-lebih lagi pelancong asing seperti kita. Dalam mabuk seawal pagi pun mereka masih ingin menolong! Bukan sekali kami dipelawa pertolongan tanpa perlu bertanya. Pernah ketika kami sesat, berhenti seorang yang sedang berpeluh mengayuh basikal, menawar menunjukkan jalan, tanpa dipinta.
Sehari atau dua sudah cukup dibandar ini. Mungkin lebih, jika kalian sudah jatuh hati, seperti aku. Bandarnya damai, dengan bayu laut dan riuh camar. Amat sedikit sekali kenderaan beroda empat di bandar ini.
Luangkan waktu petang berbasikal sekeliling bandar. Basikal boleh didapati di tepi-tepi jalan dengan deposit 2 Euro sahaja. Lawati pulau-pulau di sekitar. Aku pasti, pengalaman menaiki bot dengan diiringi camar-camar memang takkan kalian lupakan. Lebih-lebih lagi jika bersama insan tersayang.
Gambaran yang aku berikan diatas mungkin tidak mewakili semua penduduk di kedua-dua bandar. Sudah lumrah manusia, ada yang baik, ada yang buruk, dan aku cuba mengelak dari melabel secara pukal.
Related Posts : Photoblog,
Russia
0 comments:
Post a Comment