Bumi Cinta Buat Isteri Tercinta

Tidak lama dulu pernah aku katakan kepada buah hatiku yang aku takkan keluar dari kedai buku tanpa membeli sebuah buku, atau dua.

Ketika ke KB Mall tadi kami singgah di Popular, lagi. Fikirku ada baiknya juga bawa bekal buku ke Kursus Induksi dan Kenegaraan selama 5 hari di Hotel Midah, KL, Isnin nanti. Boleh juga baca ketika ceramah-ceramah yang membosankan, jika ada. Kali ini aku beli sebuah novel, berjudul "Bumi Cinta". Kata isteriku ada kawan yang sudah ada novel ini.

Muka depannya agak menarik perhatianku. Ada St. Basil Cathedral - gereja yang bumbungnya berwarna-warni, bak gula-gula lollipop tu. Ada orang ramai berbaju tebal, bertudung kepala, berjalan merentasi salji lebat, memutih, mengimbau kenangan ketika aku menuntut di Russia dahulu.

Sinopsisnya boleh tahan - kisah graduan lulusan agama, yang hidup di negara yang menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi, iaitu Russia. Ada Yelena dan Anastasia. Penulisnya pun bukan calang-calang - Habiburrahman El Shirazy, penulis novel Ayat-Ayat Cinta dan Ke Ce Be (baca: Ketika Cinta Bertasbih) yang sudahpun ke layar perak itu, dan yang paling penting, buah hatiku nampak berminat dengan novel ini.

"Betul ke nak beli ni? Boleh je pinjam kalau nak baca.", tanya isteriku.

"Beli je, buat koleksi.", kata aku lantas ke kaunter membuat bayaran.

Sampai di rumah, buah hatiku balut dengan plastik lut cahaya. Aku ambil pen dan bingkiskan di halaman pertama novel tersebut, ayat yang berbunyi, "Buat isteriku yang tercinta, terima kasih kerana berkongsi perjalanan ini bersamaku", dalam bahasa Inggeris, semestinya. Heh!

2 comments:

jenanese said...

wow....romantis....

^t-rah^ (@_@) said...

ececeiiii...romantika de amour...hikhik... nk pinjam leh abang sayang....?;P