Umar Denjeros - Episod : Bab Baru


"Weng...weng..weng.."

Lalat itu masih berterbangan meskipun sedikit pening terkena libasan tangan kiri Umar.

Umar membetulkan duduknya di kerusi yang berkeriuk itu. Diperhatinya sekeliling. Di kanannya Aidil, yang masih enak berdengkur. Sesekali Aidil seperti mengomel sendiri. Bermimpi indah barangkali.

Di belakangnya, sayup-sayup mata memandang seorang wanita, berskirt paras lutut menolak troli. Di kiri, sehasta sedikit darinya Jali, yang khusyuk membelek-belek majalah yang menayangkan tempat-tempat menarik dan barang beraneka rakam dengan harga yang kurang masuk akal.

Di depan Jali seorang makcik pertengahan umur berambut ungu bergincu merah, tebal. Umar memerhati gelagatnya yang bersembang dengan suara kuat laksana dunia itu dia yang punya dengan lelaki muda berkot disebelahnya. Anaknya, atau lelaki simpanannya, barangkali.

"Fish or bacon?"

Umar tersentak. Tidak disedari wanita dalam 30-an itu sudah ditepinya, bersama troli yang muat-muat sahaja di laluan itu.

"Fish or bacon?!", si wanita sedikit meninggikan suara.

"Err..fish!", kata Umar seraya menyucuk-nyucuk bahu Aidil di sebelah. "Makan dowh".

"Drinks?", tanya si wanita lagi sambing menghulurkan sekeping tray berisi roti kosong berlapiskan ikan separa masak dan sehiris lemon. Ada juga semangkuk salat dan sudu dan garfu dan tisu. Semuanya bersalut plastik lembut lutsinar.

"Coke please", pinta Umar bersahaja. Masa itu kempen boikot Coca Cola masih belum sampai.

Umar melihat makanan yang terhidang. Kemudian melihat sekeliling lagi. Kemudian mengelamun.

"Weng..weng..weng"
"Plop"
"Uhuk, uhuk"

Lalat yang berlegar-legar tadi sudah masuk ke mulut makcik berambut ungu bergincu merah tebal itu, barangkali.


Kata-kata Hikmat Untuk Hari Ini

"Orang biasa nampak kelemahan orang yang jauh. Yang dekat dipejamkan mata sahaja. Kononnya sudah sempurna"

-Hafizuddin Husin, Volgograd

Apa Kata..

"If photography is a virus, composition is the virulence factor"
-Hafizuddin Husin

Apa kata aku tulis pasal gambar dan komposisi, yang aku tahu sikit-sikit, supaya blog ni terus bernafas?

Orang Kita

Orang kita adabnya tinggi malunya banyak. Benda tak enak, taknak jumpa depan-depan. Lagi suka kita sembur dibelakang, muncung-muncung tuding jari, umpat-mengumpat sesama kita.

Itulah orang kita. Hati remuk rendam pendam saja, kerja tetap siap juga. Hati tak puas belakang kira. Rumah dah siap pahat berbunyi itu dah biasa.

Orang kita patut fikir. Perangai kena ubah. Kalau tak berani cakap lebih baik diam sahaja. Nanti barang ikhlas entah ke mana. Buat penat tulang sahaja.

Jangan Dibuka Kurungan Makhluk Itu

Jiwa manusia ada dua. Satu, jiwa kemalaikatan, satu, jiwa kebinatangan.

Gua dulu barannya panas. Pantang banyak bunyi sikit, gua tempeleng. Pantang ada salah sikit, gua cari sampai ke lubang cacing. Bertumbuk gua tak risau. Gua sakit lu pun sakit. Gua patah rusuk, lu patah tangan. Keluarga gua dah khatam dengan perangai gua. Masuk sekolah, merantau, perangai gua lebih kurang sama sahaja.

Satu, jiwa kebinatangan, satu, jiwa kemalaikatan. Jiwa manusia ada dia.

Lama, gua cuba ubah. Perangai lama gua cuba tolak tepi. Orang yang gua baru kenal, gua layan dengan senyum. Gua buat gaya ramah. Gua cuba bertoleransi. Bergaduh gua cuba elak. Bertengkar gua cuba lari. Gua takut perangai dulu. Cakap gua tidak banyak, mulut dilawan penumbuk.

Jiwa manusia ada dua. Satu, jiwa kebinatangan, satu, jiwa kemalaikatan.

Makin lama, sedikit sebanyak, gua semakin biasa. Perangai lama, gua cuba tolak tepi, sedikit demi sedikit. Biar berkubur yang lama, subur yang baru. Gua yang dikenal bukan lagi yang barannya panas itu. Orang kenal gua yang orangnya boleh dibawa bergurau. Boleh digelak boleh diketawa. Tapi benda dah rasi, mengalir di pembuluh, akankah hilang dengan sepenuhnya?

Satu, jiwa kemalaikatan, satu, jiwa kebinatangan. Jiwa manusia ada dua.

Alat Senaman Untuk Dijual *SOLD*

1. Dumbbell aloi body gym 5kg x2 + 1.25kg x2 + Batang
2. Roller untuk senaman harimau.eheh
3. Alat pumping
4. Alat sit-up

Semua sekali 2000 ruble sahaja. Nak clearkan barang..siapa cepat dia dapat.

Sold to a nice hencem man.eheh.Thanks bro!

Hajat

Banyak benda aku nak buat..

Aku nak tulis blog. Aku nak lukis potret awek cun yang aku mengurat dulu, nak asah balik hobi lama aku. Nak ambil gambar bermacam benda. Nak habiskan masa membaca. Macam-macam.

Tapi bak kata Kartini kepada Din Toyon, "Kadang-kadang benda yang paling kita nak, paling susah kita nak dapat".

Mungkin sama juga dalam kes aku ni. Lantaran masa yang dirasa tidak cukup, musim peperiksaan yang kadang-kadang mendatangkan gemuruh, kadang-kadang. Ah, manusia! Manakan pernah berasa cukup.

Aku curi sedikit masa, ambil kesempatan tulis nota ini. Pergh, ayat macam jiwang.eheh! Tapi betul, serius. Sebab lepas ni aku mungkin akan berehat sebentar. Sebulan dua, mungkin. Bersara sekejap dari dunia tanpa sempadan.

Aku nak meluangkan masa berkualiti bersama awek cun yang aku mengurat dulu - melancong, berBBQ, bercanda.heh!

Sepanjang cuti 2 bulan ini, insyaAllah aku akan cuba juga menulis. Menyatakan cetusan-cetusan otak aku yang semakin berkarat. Menyiapkan siri Awang Denjeros yang tak kunjung sudah. Walaupun secara offline, mungkin. Akan ku jadikan stok, aku poskan di sini secara perperingkat, mungkin.

Mungkin..semuanya mungkin..

Related Articles



Widget by Hoctro